Thursday, 8 January 2015

Kelebihan penggunaan ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran



      Perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi  (ICT) telah memberikan banyak kesan positif kepada pelbagai bidang termasuklah dunia pendidikan. Setiap pendidik perlu menggunakan alat bantu mengajar sama ada yang berbentuk peralatan mahupun perisian yang membantu merangsang dan meningkatkan minat murid terhadap sesuatu topik pembelajaran. Latihan aplikasi dan integrasi teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT adalah antara usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan sekolah menengah.

      Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap murid yang mengikuti program pemulihan khas merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid malah dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka. Penggunaan ICT bukan sahaja kepada murid yang bijak sahaja tetapi ia juga memberi peluang kepada murid-murid yang lemah. Teknologi maklumat dan komunikasi digunakan untuk membantu murid-murid untuk meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri.

      Terdapat banyak kelebihan yang dapat kita perolehi melalui pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada kepada guru ataupun murid-murid. Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang mengaplikasikan kemajuan dan kemudahan teknologi semasa dalam aktiviti, pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kewujudan teknologi telah meninggalkan impak yang kuat dan mampu memberikan banyak manfaat kepada semua.

       Penggunaan teknologi dan komunikasi dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran mengikut penyelidikan yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pandang dengar. Konsep kefahaman dan pengetahuan yang diperoleh oleh manusia adalah 75% melalui deria pandang, 13% daripada deria dengar 6% deria sentuh, 3% deria rasa dan 3% deria bau. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa pancaindera pandang dan dengarpenting dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui bahan bantu mengajar berasaskan ICT.

      Melalui ICT juga dapat meningkatkan motivasi dan minat murid terhadap pembelajaran. Pada kebiasaannya murid yang mendapat bahan pengajaran melalui komputer mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar, apatah lagi jika pendekatan yang digunakan berbentuk permainan pendidikan. Ini menunjukkan menerusi pendekatan permainan pendidikan murid akan lebih tertarik untuk mengikuti sesebuah pembelajaran.  

      Selain itu, melalui ICT juga boleh memberi pengalaman sebenar yang dapat merangsang aktiviti sendiri di kalangan murid dan membina pemikiran yang berterusan. Hal ini dapat dilahirkan menerusi aktiviti yang mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran contohnya murid-murid belajar kemahiran melalui komputer kerana mereka mahukan perkara baru yang boleh membuatkan mereka memperoleh pengalaman dan menjadi lebih seronok.

      Kesimpulannya, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting pada masa kini kepada semua orang. Kemajuan dan perkembangan yang semakin berkembang dalam bidang teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat dan generasi yang berilmu pengetahuan dalam mentadbir negara pada masa akan datang. Oleh itu, pendidikan berasas ICT perlu dilaksanakan pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak lagi kerana ia akan menarik minat untuk belajar. 

  

Rujukan 

Wan Noraini binti wan Daud (2005,kemahiran komputer guru-guru sains dan matematik)

Kementerian pelajaran Malaysia 1999

Rosseni Din (2002, kemahiran komputer guru sains dan matematik UKM)

No comments:

Post a Comment